Pelancong angkasa lepas Jepun kembali ke Bumi selepas 12 hari di ISS


Taikun fesyen dalam talian Yusaku Maezawa dan pembantunya Yozo Hirano berpayung terjun ke padang rumput Kazakhstan pada kira-kira 0313 GMT pada Isnin, bersama-sama dengan angkasawan Rusia Alexander Misurkin. – Gambar AFP, 20 Disember, 2021.

SEORANG jutawan Jepun kembali ke Bumi pada Isnin selepas 12 hari menghabiskan masa di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Taikun fesyen dalam talian Yusaku Maezawa dan pembantunya Yozo Hirano berpayung terjun ke padang rumput Kazakhstan pada kira-kira 0313 GMT pada Isnin, bersama-sama dengan angkasawan Rusia Alexander Misurkin.

Rakaman dari tapak pendaratan, kira-kira 150 kilometer tenggara Zhezkazgan di Kazakhstan menunjukkan ketiga-tiga mereka tersenyum selepas dibantu keluar dari modul turun Soyuz sebelum masuk ke dalam kenderaan pemindah.

“Krew berasa baik,” kata seorang pengulas di Nasa TV, menterjemah komen dari kawalan misi Rusia.

Kementerian pertahanan Rusia berkata pada Ahad Maezawa dan Hirano pasti akan dikejutkan oleh kru pemulihan dengan hidangan mi tradisional Jepun.

Perjalanan mereka menandakan kembalinya Rusia ke pelancongan angkasa lepas selepas tempoh sedekad yang menyaksikan peningkatan persaingan dari Amerika Syarikat.

Ketiga-tiga mereka menghabiskan 12 hari di makmal mengorbit di mana pelancong Jepun mendokumentasikan kehidupan harian mereka di atas ISS untuk saluran YouTube popular Maezawa.

Bercakap kepada sejuta pengikutnya di YouTube, jutawan berusia 46 tahun itu menerangkan cara menggosok gigi dan pergi ke bilik air di angkasa.

Dalam salah satu video tersebut, beliau menjelaskan secara terperinci urusan pelepasan diri di ISS.

“Senang saja untuk kencing,” katanya sambil menunjukkan corong pegang tangan yang digunakan angkasawan untuk menyedut air kencing mereka.

Dalam video lain, beliau menunjukkan pengikutnya cara minum teh dengan betul dan tidur dalam graviti sifar.

Apabila tiga pengembara angkasa tiba di ISS pada 8 Disember, mereka menyertai krew tujuh pasukan yang terlibat dalam penyelidikan biologi dan fizik angkasa.

Maezawa merancang untuk membawa lapan orang bersamanya dalam misi 2023 mengelilingi bulan, yang dikendalikan oleh SpaceX milik Elon Musk.

Beliau dan pembantunya merupakan warga Jepun persendirian pertama yang melawat angkasa lepas sejak wartawan Toyohiro Akiyama pergi ke stesen Mir pada 1990. – AFP, 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen