Muda kumpul lebih RM1 juta tak sampai 100 jam


Ragananthini Vethasalam

Naib Presiden Muda Dr. Thanussha Francis Xavier berkata wang yang dikumpul itu akan disalurkan untuk membantu mangsa melalui pengagihan bantuan makanan, pembersihan pascabanjir dan keperluan lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Disember, 2021.

MUDA telah mengumpul lebih RM1 juta dalam tempoh kurang 100 jam bagi membantu mangsa banjir.

Parti itu kini telah menutup usaha mengumpul dana selepas berjaya mengutip RM1,045,600.00 yang dilancarkan tidak lama selepas berita mengenai banjir melanda.

Muda menasihatkan penderma mengalihkan sumbangan mereka kepada dua lagi kumpulan masyarakat sivil iaitu Pertubuhan Demokrat Sosial dan Mercy Malaysia Flood Relief.

Naib Presiden Muda Dr. Thanussha Francis Xavier memberitahu The Malaysian Insight wang yang dikumpul itu akan disalurkan untuk membantu mangsa melalui pengagihan bantuan makanan, pembersihan pascabanjir dan keperluan lain.

“Saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati membantu menderma.

“Saya berasa rendah hati kerana begitu ramai rakyat Malaysia tampil untuk membantu satu sama lain melalui derma dan juga membantu secara fizikal di lapangan,” tambahnya.

Beliau berkata empati orang ramai terhadap mangsa adalah penggerak di sebalik usaha negara menyelamatkan seramai mungkin memandangkan usaha mencari dan menyelamat negara hanya digerakkan lewat malam tadi, iaitu tiga hari selepas banjir bermula.

Muda mengumumkan kutipan derma bagi membantu mangsa banjir pada 17 Disember. Sasaran awal cuma untuk mengumpul RM10,000.

Bagaimanapun, sambutan menggalakkan diterima dan ia berjaya mengumpul RM160,000.

Ia kemudian menaikkan sasarannya kepada RM300,000. Setakat ini, kutipan telah melebihi sasaran.

Muda sebelum ini berkata, sasaran awalnya adalah untuk membantu mangsa di Selangor tetapi memandangkan sambutan positif pihaknya akan memperuntukkan dana itu kepada semua negeri yang terjejas banjir.

Dalam satu kenyataan, pengasas dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata setiap sen dan ringgit yang didermakan akan digunakan hanya untuk mangsa.

“Sumbangan ini juga akan melalui proses audit bagi memastikan ketelusan dan integrit pengurusan wang dijaga,” katanya.

Beliau turut menyeru sukarelawan untuk membantu misi banjir melalui maribantu.my/pasca. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen