Speaker tolak bahas isu banjir


Chan Kok Leong

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak permintaan beberapa ahli Parlimen untuk membahaskan isu banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2021.

DEWAN Rakyat tidak boleh membincangkan isu mengenai banjir di Lembah Klang kerana hanya ada satu perkara dalam agenda, kata Speaker Azhar Azizan Harun selepas gesaan daripada ahli Parlimen untuk membahaskan krisis semasa.

“Kita hanya ada satu agenda hari ini, iaitu perbahasan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” kata Azhar kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Ia juga terpulang kepada menteri untuk memutuskan bila mereka mahu memberi taklimat dan kemudian memaklumkan kepada saya. Begitu caranya.

“Kita perlu ikut peraturan dan tidak melompat dari satu isu ke satu isu,” kata bekas peguam itu sebagai respons kepada Lim Guan Eng (Bagan-PH), Ahmad Maslan (Pontian-BN) dan Mohamad Sabu (Kota Raja-PH), yang meminta isu banjir dibuka untuk dibahaskan.

“Kami mahu menteri memberitahu kami apa yang dilakukan dalam isu banjir. Sebagai ahli Parlimen, kami terkejut dengan bilangan rakyat yang terpaksa memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri daripada banjir di Lembah Klang,” kata Lim.

Ahmad berkata ahli Parlimen perlu tahu apa tindakan yang diambil kerajaan.

“Walaupun kerajaan mengumumkan RM50 juta dan RM100 juta sebagai bantuan tunai dan pembiayaan infrastruktur, kita perlu tahu sama ada ini mencukupi atau siapa yang menerima bantuan itu dan lain-lain.”

Mohamad, yang kawasannya termasuk Klang dan  Shah Alam, yang paling teruk dilanda banjir, berkata rakyat berhak mengetahui sama ada polis dan tentera sudah dikerahkan untuk kerja bantuan.

“Sudah dua hari banjir dan kita masih tidak tahu apa yang dilakukan oleh menteri dan perdana menteri.”

Bagaimanapun, Azhar menolak permintaan itu dan beralih kepada rang undang-undang pindaan, yang kemudiannya ditangguhkan. Dewan Rakyat ditangguhkan pada 11.35 pagi. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen