KKM bersedia terima lonjakan kes Covid-19 selepas banjir


Chan Kok Leong

KKM sudah mengesan 181 kes baharu Covid-19 melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersedia menghadapi lebih banyak jangkitan Covid-19 selepas mengesan 181 kes baharu dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan, kata Khairy Jamaluddin.

“Kebanyakan kes adalah kategori 1 dan 2,” kata menteri itu semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata pesakit Covid-19 sudah dipindahkan ke hospital. Daripada 181 jangkitan itu, Khairy berkata Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 117, diikuti Pahang (52), Kelantan (6), Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut Khairy, 206 lagi mangsa banjir dianggap kontak rapat dan dipindahkan ke pusat kuarantin Covid-19.

“KKM menjangkakan jangkitan Covid-19 akan meningkat akibat banjir kerana sukar untuk mengekalkan semua SOP semasa situasi krisis.

“Kami faham keutamaan adalah untuk menyelamatkan mangsa banjir terlebih dahulu dan oleh itu tidak dapat dielakkan beberapa SOP tidak dapat dipatuhi seperti pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

Katanya, kementerian sudah memaklumkan semua negeri agar bersiap sedia menghadapi lebih banyak jangkitan akibat banjir. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen