Keputusan bicara import walkie-talkie Suu Kyi hari ini


Aung San Suu Kyi berdepan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah atas tuduhan mengimport walkie-talkie secara haram dan memiliki peranti itu tanpa lesen. – Gambar EPA, 20 Disember 2021.

PEMIMPIN Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dijangka memperoleh keputusan perbicaraan kes import walkie-talkie secara haram, hari ini.

Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari, menamatkan tempoh demokrasi singkat negara Asia Tenggara itu.

Bantahan di seluruh negara terhadap kudeta itu dibalas tindakan keras berdarah, dengan lebih 1,300 orang terbunuh dan lebih 10,000 ditangkap menurut kumpulan pemantau tempatan.

Suu Kyi, 76, berdepan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah atas tuduhan mengimport walkie-talkie secara haram dan memilikinya tanpa lesen—kes pertama difailkan terhadapnya oleh junta.

Tuduhan itu berpunca daripada awal rampasan kuasa, apabila tentera dan polis menyerbu rumahnya dan didakwa mendapati beliau memiliki peralatan seludup.

Semasa soal balas, anggota pihak yang menyerbu mengakui mereka tidak memiliki waran geledah untuk serbuan itu, menurut sumber.

Penganalisis berkata tidak mungkin Suu Kyi dipenjarakan dan berkemungkinan mahkamah junta yang tidak telus akan menangguhkan keputusan.

Awal bulan ini beliau dipenjarakan selama empat tahun kerana hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19, dalam satu keputusan yang dikutuk secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.

Ketua Junta Min Aung Hlaing kemudiannya menukar tempoh itu kepada dua tahun, dan berkata beliau akan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah di ibu negara Naypyidaw.

Suu Kyi juga didakwa dengan pelbagai tuduhan rasuah—setiap satunya boleh dihukum penjara 15 tahun—dan melanggar akta rahsia rasmi.

Wartawan dilarang menghadiri perbicaraan mahkamah khas di Naypyidaw dan peguamnya baru-baru ini dilarang bercakap kepada media.

Penahanan rumah Suu Kyi yang lama di bawah junta sebelum ini dihabiskan di rumah agam era kolonial keluarganya di Yangon, di mana beliau muncul di depan ribuan orang berkumpul di seberang pagar tamannya.

Rejim Min Aung Hlaing mengurungnya di lokasi yang tidak didedahkan di ibu negara, dengan hubungannya dengan dunia luar terhad kepada mesyuarat pra-perbicaraan ringkas dengan peguamnya.

Junta juga mengancam membubarkan partinya, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi, memetik dakwaan penipuan dalam pilihan raya 2020 yang dikatakan oleh pemerhati antarabangsa sebahagian besarnya bebas dan adil.

Satu suruhanjaya pilihan raya yang dilantik junta menyiasat dakwaan penipuan semasa pilihan raya akan melaporkan dapatannya pada awal 2022, kata menteri penerangan itu pada sidang media awal bulan ini.

Beberapa minggu kebelakangan ini, anggota kanan NLD yang lain telah menerima hukuman yang panjang.

Seorang bekas ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun, manakala pembantu rapat Suu Kyi dipenjarakan selama 20 tahun. – AFP, 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen