ANGKA kematian akibat taufan terkuat yang melanda Filipina tahun ini meningkat kepada 208, kata polis pada Isnin, menjadikannya satu daripada ribut paling ramai menelan korban yang melanda negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sekurang-kurangnya 239 orang cedera dan 52 hilang selepas Taufan Rai melanda wilayah selatan dan tengah kepulauan itu, menurut data polis.
Lebih 300,000 orang melarikan diri dari rumah dan pusat peranginan di tepi pantai ketika Rai membadai pada Khamis sebagai taufan super.
Pasukan Palang Merah Filipina melaporkan kemusnahan besar di kawasan pantai.
Ribut menerbangkan bumbung, menumbangkan pokok, tiang elektrik konkrit, menghancurkan rumah kayu dan membanjiri kampung—mencetuskan perbandingan dengan Taufan Super Haiyan pada 2013.
Haiyan, dipanggil Yolanda di Filipina, merupakan taufan paling dahsyat dalam rekod di negara itu, menyebabkan lebih 7,300 orang maut atau hilang.
Salah satu pulau yang paling teruk terjejas kali ini ialah Bohol dengan sekurang-kurangnya 74 orang maut, kata Gabenor wilayah Arthur Yap di halaman Facebook rasminya. – AFP, 20 Disember, 2021.
Komen