NEGARA Islam memutuskan pada Ahad untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan semula ratusan juta dolar dalam aset Afghanistan yang dibekukan dalam usaha menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.
Pada mesyuarat khas di Pakistan, delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai 57 anggota berkata mereka akan berusaha membuka saluran kewangan dan perbankan untuk menyambung semula aliran bantuan kewangan dan kemanusiaan.
Mesyuarat itu adalah persidangan terbesar mengenai Afghanistan sejak kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) tumbang pada Ogos dan Taliban kembali berkuasa.
Sejak itu, berbilion dolar dalam bantuan dan aset dibekukan oleh masyarakat antarabangsa, dan negara sedang berada dalam musim sejuk.
Resolusi OIC dikeluarkan selepas mesyuarat itu berkata Bank Pembangunan Islam akan mengetuai usaha menyalurkan bantuan menjelang suku pertama tahun depan.
Ia juga menggesa pemerintah Afghanistan mematuhi “kewajipan di bawah perjanjian hak asasi manusia antarabangsa, terutamanya berkaitan hak wanita, kanak-kanak, belia, warga emas dan orang berkeperluan khas”.
Sebelum ini, Pakistan memberi amaran tentang “akibat buruk” kepada masyarakat antarabangsa jika kegawatan ekonomi Afghanistan berterusan, dan menggesa pemimpin dunia mencari jalan untuk melibatkan diri dengan Taliban bagi membantu mencegah bencana kemanusiaan.
Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi berkata krisis yang semakin meruncing boleh membawa kepada kebuluran, kebanjiran pelarian dan peningkatan ekstremisme.
“Kita tidak boleh mengabaikan bahaya kemerosotan ekonomi sepenuhnya,” katanya pada perhimpunan itu, yang turut disertai Menteri Luar Taliban Amir Khan Muttaqi bersama delegasi dari AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB.
Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata dunia perlu memisahkan Taliban daripada rakyat Afghanistan.
“Saya bercakap dengan AS yang mereka mesti memutuskan kaitan kerajaan Afghanistan daripada 40 juta rakyatnya,” katanya, “walaupun mereka berkonflik dengan Taliban selama 20 tahun.”
Beliau juga menggesa berhati-hati dalam mengaitkan pengiktirafan kerajaan baharu dengan cita-cita hak asasi manusia Barat.
“Setiap negara adalah berbeza… setiap idea masyarakat tentang hak asasi manusia adalah berbeza,” katanya.
OIC juga memutuskan pada Ahad untuk mengatur pasukan cendekiawan Islam antarabangsa untuk terlibat dengan Taliban dalam isu toleransi dan kesederhanaan dalam Islam, akses sama rata kepada pendidikan dan hak wanita dalam Islam.
Belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban secara rasmi dan para diplomat berdepan tugas berat menyalurkan bantuan kepada ekonomi Afghanistan yang terjejas tanpa menyokong kumpulan ektsrem Islam.
Walaupun Taliban menjanjikan versi yang lebih ringan bagi peraturan keras sebagaimana tempoh pertama mereka berkuasa dari 1996 hingga 2001, wanita sebahagian besarnya dikecualikan daripada jawatan kerajaan, dan sekolah menengah untuk perempuan kebanyakannya masih ditutup.
Mesyuarat OIC tidak memberikan kerajaan baharu Taliban pengiktirafan antarabangsa rasmi yang amat diidamkannya dan menteri luar rejim baharu Amir Khan Muttaqi dikecualikan daripada gambar rasmi yang diambil semasa acara itu.
Muttaqi memberitahu pemberita, bagaimanapun, kerajaannya mempunyai hak untuk diiktiraf secara rasmi.
Pakistan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu adalah satu-satunya tiga negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban sebelum ini.
Resolusi 31 perkara OIC itu ringkas dan tidak memberikan angka untuk bantuan kewangan.
“Terdapat ramai yang ingin menderma tetapi tidak mahu menderma secara langsung, mereka mahukan beberapa mekanisme yang mereka selesa,” kata Qureshi.
Pertemuan itu diadakan di bawah kawalan keselamatan yang ketat, dengan Islamabad ditutup, dipagar penghadang kawat berduri dan sekatan jalan menggunakan kontena kapal dengan polis dan tentera berkawal. – AFP, 20 Disember, 2021.
Komen