SEKURANG-KURANGNYA 109 orang terkorban dalam taufan terkuat yang melanda Filipina tahun ini, demikian menurut angka rasmi yang dikeluarkan.
Usaha untuk menghantar air dan makanan ke pulau-pulau yang musnah semakin meningkat.
Lebih 300,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman dan pusat peranginan ketika Taufan Rai membadai kawasan selatan dan tengah kepulauan itu.
Ribut memusnahkan sambungan komunikasi dan elektrik di banyak kawasan, menerbangkan bumbung, hospital rosak, tiang elektrik konkrit tumbang dan perkampungan banjir kilat.
Gabenor destinasi pelancongan terkenal di Bohol, Arthur Yap dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau berkata datuk bandar pulau itu melaporkan 73 kematian setakat ini.
Sepuluh orang turut terkorban di Kepulauan Dinagat, kata pegawai maklumat wilayah Jeffrey Crisostomo kepada AFP.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan angka korban yang dilaporkan kepada 109, sekali gus menjadikannya salah satu ribut paling kuat melanda negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, angka korban mungkin meningkat apabila agensi bencana menilai tahap penuh akibat ribut di seluruh kepulauan yang luas itu.
Taufan Rai melanda negara itu pada Khamis sebagai taufan terbesar yang membawa angin berkelajuan 195 kilometer (120 batu) sejam.
Ribuan anggota tentera, polis, pengawal pantai dan bomba dikerahkan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas.
Pengawal pantai dan kapal tentera laut yang membawa bekalan makanan, air dan perubatan sedang dihantar, manakala jentera berat – seperti jengkaut dan jentolak – dihantar untuk membantu membersihkan jalan yang terhalang oleh tiang elektrik dan pokok tumbang.
“Ia akan menjadi tempoh yang panjang dan sukar untuk orang ramai membina semula dan mengembalikan kehidupan mereka,” kata Alberto Bocanegra, ketua Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Filipina. – AFP, 19 Disember, 2021.
Komen