Kerja pembersihan kawasan tumpuan KL sedang dijalankan


Ragananthini Vethasalam

Walaupun air telah surut, kawasan ini dipenuhi dengan lumpur dan serpihan yang dibawa arus sungai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Disember 2021.

KERJA-KERJA pembersihan telah dimulakan di beberapa kawasan Kuala Lumpur yang dilanda banjir.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melawat kawasan ‘River of Life’, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka yang ditenggelami banjir sejak malam tadi akibat tebing Sungai Gombak pecah.

Walaupun air telah surut, kawasan ini dipenuhi dengan lumpur dan serpihan yang dibawa arus sungai.

Sejak pagi tadi, trak daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilihat mengerahkan pasukan pembersihan mereka di kawasan yang terjejas.

Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan di kawasan ikonik seperti Masjid Jamek, ‘River of Life’ dan sepanjang Dataran Merdeka.

Jalan Raja yang menghubungkan kawasan ini telah ditutup kepada mana-mana kenderaan dan pintu masuk laluan dipasang penghadang.

Stesen LRT Masjid Jamek yang ditutup semalam susulan banjir bagaimanapun telah beroperasi semula.

Semalam, Lembah Klang menyaksikan banjir paling dahsyat dalam sejarah berikutan hujan lebat yang berterusan dan lebat selama dua hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata hari ini lima laluan iaitu  Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Smart masih ditutup pada 1 tengah hari.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan dan pengguna dinasihat menggunakan Jalan Tun Razak untuk menuju ke pusat bandar. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen