Hujan lebat semalam situasi tidak diduga, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hujan lebat yang tidak dijangka di Selangor menyebabkan pihak berkuasa negeri dan persekutuan tidak mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Disember 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mengakui berlaku kelewatan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Namun, katanya semua isu yang berlaku semalam akan diselesaikan hari ini.

“Memang ada sedikit kelewatan dalam penghantaran makanan dan lain-lain,” katanya pada sidang media hari ini di Klang.

Ismail berkata hujan lebat yang tidak dijangka di Selangor menyebabkan pihak berkuasa negeri dan persekutuan tidak berjaga-jaga dan bersedia.

“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air bahawa hujan semalam di Selangor adalah bersamaan dengan sebulan,” katanya.

“Apabila perkara itu berlaku secara tiba-tiba, ia membawa kepada keadaan huru-hara. Itulah sebabnya tiada persiapan untuk pemindahan.”

“(Kami) tidak menjangka paras air naik dengan cepat dan sebab itu ada (mangsa) terkandas sementara menunggu untuk dipindahkan pihak berkuasa,” tambahnya.

Beliau berkata makanan tidak dapat dihantar semalam kerana jalan raya ditenggelami banjir.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan telah bertambah baik hari ini.

Kerajaan akan mencari alternatif seperti menggunakan helikopter untuk menghantar makanan ke tempat di mana akses darat telah terputus.

“Semua isu yang tercetus semalam mesti diselesaikan,” katanya sambil menambah pihak penguatkuasaan digerakkan ke lapangan.

Beliau menambah terdapat kawasan tertentu di mana paras air dijangka surut manakala yang lain mungkin akan meningkat.

Namun, beliau berharap sebarang kejadian kenaikan paras air di Selangor tidak menjadi masalah kerana persiapan telah dibuat.

Tambahnya, keadaan di Terengganu bertambah baik manakala negeri lain seperti Pahang masih bergelut dengan peningkatan paras air.

Ismail berkata keadaan di Pantai Timur masih terkawal kerana negeri ini telah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh tahunan tidak seperti Selangor yang terkejut dengan hujan lebat secara mendadak dan tidak pernah berlaku sebelum ini. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen