Tak mungkin Perikatan kerjasama dengan Pakatan sekarang, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu hanya akan berlaku jika ada rombakan besar dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak mungkin akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) waktu ini disebabkan komponen tertentu yang tidak mesra komuniti Melayu, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu hanya akan berlaku jika ada rombakan besar dalam PH.

“Dalam bentuk PH sedia ada tak mungkin. Bukan kita tak suka perpaduan, banyak ketara perbezaannya,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Katanya, ia berdasarkan pengalaman sewaktu Bersatu menyertai gabungan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya ada pengalaman di situ sebab itu kita buat keputusan tinggalkan PH. Sukar, tak tahulah kalau ada perubahan besar berlaku dalam PH,” katanya.

Tanpa menamakan parti khusus, beliau berpendapat pergerakan itu tidak memihak kepada Melayu Bumiputera dan pemimpinnya juga mempertikai hak golongan itu.

“Antara faktor kita tak sedia bersama kerana ada satu parti dalam itu dilihat tak pro-Melayu Bumiputera, sejarahnya pertikaikan hak (Melayu)...

“Kita tak boleh bersama dengam jemaah sebegitu.

“Saya tak fikir perkara itu boleh berlaku kecuali rombalan besar berlaku dalam PH yang ketika itu kita boleh meneliti balik,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Beliau mengulas cadangan bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron supaya PN bekerjasama dengan PH untuk memberi kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Idris mendakwa, antara sebab kekalahan PH di Melaka berpunca daripada penyusutan sokongan pengundi Melayu di samping perpecahan undi antara PH dengan PN.

Idris bersama bekas Adun Pantai Kundor Nor Azman Hassan dipecat daripada Umno pada Oktober lalu, apabila menjadi antara empat Adun Melaka menarik sokongan daripada menyokong ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Tindakan mereka menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri dan DUN Melaka dibubarkan dan pilihan raya negeri terpaksa diadakan pada bulan lalu.

Idris kemudian bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket PH di DUN Asahan, namun tewas. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen