Tak perlu libat Singapura untuk teruskan HSR, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin mengulangi cadangan sebuah konsortium swasta diwujudkan untuk membina projek itu dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.

MALAYSIA tidak memerlukan penglibatan Singapura untuk melaksanakan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri kelapan itu berkata, tanpa melibatkan Singapura, Malaysia mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik negara itu.

“Kita boleh buat keputusan-keputusan yang melindungi kepentingan negara kita tanpa campur tangan pihak asing,” kata Muhyiddin.

Beliau menegaskan demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu keempat di Mitec, Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin menjelaskan, beliau bertindak membatalkan projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura sewaktu menjadi perdana menteri disebabkan perjanjiannya berat sebelah.

Katanya, terma berat sebelah dalam perjanjian projek HSR ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu mencabuli hak kedaulatan negara.

“Kita tidak perlu menunggu pihak Singapura untuk terlibat semula dalam projek ini, dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara kita,” kata Muhyiddin.

Beliau mengulangi cadangan agar sebuah konsortium swasta diwujudkan untuk membina projek itu dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya termasuk menanggung kos pengambilan tanah.

“Dengan cara ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi membina dan memiliki projek ini. Saya yakin projek ini adalah berdaya maju untuk jangka masa panjang.

“Dengan prospek penyambungan HSR dengan jaringan landasan kereta api laju yang menghubungkan negara Thailand, Indochina dan China, saya percaya ramai pihak yang akan berminat untuk menyertai projek ini,” kata Muhyiddin.

Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur strategik dengan pembiayaan pihak swasta ini pastinya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan kesan limpahan berganda dinikmati oleh rakyat terutamanya di sepanjang laluan HSR.

Pada 1 Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Disebabkan pembatalan itu, Malaysia terpaksa membayar pampasan sekitar lebih RM300 juta kepada Singapura bagi kos ditanggung republik itu dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan.

Bagaimanapun, dalam lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke republik berkenaan pada hujung November lalu, beliau dilaporkan membuat cadangan baharu HSR kepada Singapura.

Ismail Sabri juga dilapor berkata, perbincangan mengenai cadangan baharu pelaksanaan semula projek HSR akan diadakan bersama dengan kedua-dua kementerian pengangkutan Malaysia dan Singapura dan ia akan dibawa ke Kabinet. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen