Dua roket bedil zon hijau Baghdad


Dua roket menyasarkan zon hijau Baghdad yang menempatkan rumah kedutaan AS awal pagi tadi. – Gambar AFP, 19 Disember, 2021.

DUA roket disasarkan ke zon hijau iaitu kawasan paling selamat di Baghdad, Iraq yang menempatkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat (AS), awal pagi ini.

Perkara itu disahkan pasukan keselamatan Iraq dalam satu kenyataan.

“Zon hijau di Baghdad menjadi sasaran dua roket Katyusha. Roket pertama ditembak jatuh di udara oleh pasukan pertahanan C-RAM manakala yang kedua disasarkan ke kawasan dataran sebelum merosakkan dua kenderaan,” katanya.

Sumber keselamatan memberitahu AFP roket yang ditembak jatuh berhampiran pejabat kedutaan AS, manakala yang kedua jatuh kira-kira 500 meter dari lokasi itu.

Namun hingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Dalam tempoh beberapa bulan ini, puluhan roket atau serangan bom dron menyasarkan tentera dan kepentingan AS di Iraq.

Serangan itu bagaimanapun tidak diakui mana-mana pihak tetapi sering dikaitkan dengan puak pro-Iran di Iraq.

Serangan roket itu berlaku selepas Iraq mengumumkan penamatan misi tempur minggu ini di wilayah gabungan anti-jihad yang diketuai Washington.

Kira-kira 2,500 tentera Amerika dan 1,000 askar gabungan yang dikerahkan di Iraq akan terus berada di negara itu untuk menjalani latihan, nasihat dan bantuan.

Namun puak pro-Iran di Iraq menuntut semua pasukan berkuasa AS yang berada di negara itu diusir keluar. – AFP, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen