WAKIL dari 57 negara Islam bertemu di Pakistan pada Ahad bagi sidang kemuncak yang bertujuan membantu krisis kemanusiaan di negara jiran Afghanistan, sambil menguji hubungan diplomatik dengan kerajaan Taliban yang baharu.
Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah persidangan terbesar berhubung Afghanistan sejak kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) tumbang pada Ogos.
Selepas Taliban kembali berkuasa, bantuan dan aset bernilai berbilion dolar dibekukan oleh masyarakat antarabangsa, dan negara dengan 38 juta penduduk tu kini menghadapi musim sejuk yang mencabar.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran Afghanistan berada di ambang kecemasan kemanusiaan terburuk di dunia dengan gabungan krisis makanan, bahan api dan wang tunai.
Pada Ahad, ibu kota Pakistan dikenakan perintah berkurung, dipagar dengan penghadang kawat berduri dan sekatan jalan dengan polis dan tentera berkawal.
Sebarang janji bantuan bakal diumumkan pada petang Ahad.
Menteri Luar Taliban Amir Khan Muttaqi adalah antara perwakilan, dan dari AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB.
Belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban secara rasmi dan diplomat berdepan tugas berat menyalurkan bantuan kepada ekonomi Afghanistan yang terjejas tanpa turut menyokong kumpulan Islam yang ekstremis.
Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi berkata pertemuan itu akan membincangkan untuk rakyat Afghanistan dan bukannya kumpulan tertentu.
Pakistan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu adalah satu-satunya tiga negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban sebelum ini pada 1996 hingga 2001.
Qureshi berkata terdapat perbezaan antara “pengiktirafan dan penglibatan” dengan perintah baharu di Kabul.
“Biarlah kita mendorong mereka melalui pujukan, melalui insentif, untuk bergerak ke arah yang betul,” katanya kepada pemberita menjelang mesyuarat OIC.
“Dasar paksaan dan ugutan tidak berhasil. Jika ia berjaya, kita tidak akan berada dalam situasi ini.” – AFP, 19 Disember, 2021.
Komen