Umno jangan mudah lupa diri, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu keempat di Mitec, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2021.

UMNO tidak seharusnya lupa diri dengan menamatkan kerjasama politik dan mendesak pilihan raya umum diadakan segera, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengingatkan pemimpin Umno bahawa tarikh pilihan raya hanya dapat ditetapkan secara bersama di antara parti politik yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, Umno hanya mampu kembali meneraju kerajaan dengan sokongan parti termasuk Perikatan Nasional (PN) dan bukan atas kekuatan sendiri.

Oleh itu Umno perlu menghormati perkara itu dan tidak bersikap seperti abang besar dalam gabungan kerjasama parti kerajaan itu, katanya lagi.

“Kita dengar di luar kata (kerjasama Umno sehingga sebelum) pilihan raya umum. Tapi sebenarnya bukan Umno tentukan.

“Rakan PN akan duduk bincang bila masa sesuai itu satu terma yang saya nak nyatakan.

“Jadi, saya ingin berpesan kepada pihak-pihak tertentu di dalam Umno, hormatlah sedikit, sama, saksama, tidak ada abang besar, jangan mudah lupa diri… (Saya) cakap lembut, takut salah faham.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu keempat di Mitec, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri itu turut mengingatkan, sokongan Bersatu untuk Ismail Sabri diangkat menjadi perdana menteri juga berdasarkan beberapa syarat perjanjian.

“Selagi mana terma-terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya,” kata Muhyiddin lagi di hadapan hampir 1,000 perwakilan Bersatu.

Dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata pandangan PN dalam menentukan tarikh pilihan raya umum tidak boleh dipinggirkan.

Hal ini memandangkan gabungan itu memiliki bilangan terbesar ahli Parlimen menyokong Ismail Sabri dan beliau dicalonkan sebagai perdana menteri oleh PN dan bukannya oleh Umno, katanya lagi.

“Bersatu dan rakan PN usul dan calonkan Ismail Sabri (sebagai perdana menteri), bukan Umno. Kita calon, Umno sokong. Terbalik,” katanya.

Oleh itu wujud syarat kesepakatan di antara beliau dan juga pemimpin lain dalam PN serta Ismail Sabri.

“Apa sahaja pandangan dan dirasakan ahli atau pemimpin Umno, harus dibincang dan dirunding,” kata Muhyiddin. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen