4 maut pesawat ringan terhempas di Australia


EMPAT maut susulan nahas pesawat ringan di perairan berhampiran bandar Brisbane di Australia, kata polis Ahad.

Polis negeri Queensland berkata empat terbunuh selepas pesawat kecil itu terhempas di luar pantai berhampiran Redcliffe, pinggir teluk di utara bandar itu, kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

“Operasi pelbagai agensi sedang dijalankan dengan angota dan penyelam Polis Air Queensland bersama Unit Nahas Forensik membantu agensi lain, termasuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, ketika siasatan diteruskan,” kata polis dalam satu kenyataan.

Pesuruhjaya polis Queensland Katarina Carroll memberitahu media tempatan operasi awal berdepan situasi yang mencabar.

“Pesawat itu berada dalam keadaan yang sangat, sangat sukar, kedudukan sukar di kawasan tanah lembap, dan pada masa ini kami berjaya mendapatkan polis dan penyelam untuk ke kawasan itu, dan itu sahaja yang boleh saya katakan pada ketika ini,” katanya.

Jurucakap polis mengesahkan tiada penumpang lain melainkan empat mangsa yang terkorban berada dalam pesawat malang itu. – AFP, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen