Nelayan perlu waspada hadapi monsun timur laut, kata APMM


Nelayan perlu memaklumkan kepada persatuan, ahli keluarga atau APMM mengenai lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian jika berlaku kecemasan, kata APMM. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2021.

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan memberi peringatan kepada nelayan pesisir pantai supaya berwaspada dan memandang serius aspek keselamatan dalam menghadapi monsun timur laut tahun ini.

Pengarahnya Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata hal ini berikutan perairan Kelantan bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.

“Sepanjang musim ini, ombak juga boleh mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 meter.

“Situasi ini boleh membahayakan pengusaha bot terutamanya bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot fibreglass,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Nur Adli berkata, nelayan perlu memaklumkan kepada persatuan, ahli keluarga atau APMM mengenai destinasi atau lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kecemasan.

“Kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Maritim Kelantan adalah seluas 27,637 km persegi dengan pantai sepanjang 78 kilometer.

“Maritim Kelantan akan terus komited memastikan keadaan perairan negeri Kelantan selamat dan berusaha meminimumkan kes kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda,” katanya. – Bernama, 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen