Pandemik jejas bekalan, harga bunga ros naik berganda


Khoo Gek San

Selain kekangan eksport, penanam bunga dalam negara tidak mampu memenuhi permintaan disebabkan musim hujan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.

HARGA ros naik berganda apabila rantaian bekalan ke Malaysia terjejas teruk disebabkan kemunculan varian Omicron, sekatan penerbangan berpanjangan dan musim tengkujuh hujung tahun, kata pemain industri.

Pemborong Sally Chai yang berkecimpung dalam industri bunga lebih 30 tahun memberitahu The Malaysian Insight yang ini adalah pengalaman pertamanya berdepan masalah serius kekurangan bekalan bunga segar import dan eksport.

Katanya, sekatan masuk penerbangan terus dari Afrika ke negara ini disebabkan Omicron secara tidak langsung menjejaskan import bunga dari Kenya.

Malaysia menggantung penerbangan dari negara benua Afrika dan menghalang rakyat Malaysia ke negara yang sudah merekodkan kes varian Omicron, iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesoto, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

China turut menghadkan jumlah eksport bunga, menyebabkan kelewatan produk dari pasaran China sekurang-kurangnya dua minggu, kata Chai.

Semua situasi ini menyebabkan harga semasa ros import meningkat tiga kali ganda berbanding harga sebelum pandemik, malah ada jenis bunga ros yang harganya meningkat lebih tiga kali ganda berbanding harga sebelum ini, kata Chai.

Katanya kebanyakan bunga ros diimport dari Kenya, China dan India.

“Bunga ros dan bunga lain tempatan yang ditanam di Cameron Highlands, Pahang tidak mempunyai pengeluaran mencukupi kerana kesan musim hujan,” katanya lagi.

Penanam bunga dalam negara juga berdepan masalah kekurangan pekerja dan peningkatan harga baja pertanian.

Chan berkata beliau cuba menjelaskan situasi semasa kepada penjual bunga yang mendapatkan bekalan mereka daripada pemborong.

“Sekarang ini, bekalan bunga ros di pasaran sangat sedikit, dan harganya memang akan jadi mahal.

“Kami berdoa ada keajaiban untuk menyelesaikan masalah bekalan dalam minggu ini. Buat masa sekarang, kami memang mencari merata-rata tempat untuk bekalan bunga ros segar,” katanya.

Tambah Chai lagi, selain kedai bunga, tempat ibadat tertentu seperti gereja dan kuil turut memerlukan bekalan bunga. – 19 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen