Texas jatuhi hukuman mati lelaki bunuh 2 anak


John Battaglia, disahkan meninggal dunia menerusi hukuman suntikan pada 9.40 malam waktu tempatan semalam selepas disabitkan bersama membunuh dua anak perempuannya. – Gambar AFP, 2 Februari, 2018.

MAHKAMAH Texas menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang membunuh dua anaknya sambil memaksa bekas isterinya mendengar pembunuhan itu menerusi telefon.

John Battaglia menembak mati dua anak perempuannya yang berusia enam dan sembilan tahun pada 2001, ketika kanak-kanak itu melawat untuk makan malam bersamanya.

Dia membunuh kanak-kanak itu ketika mereka sedang bercakap dengan ibu mereka, Mary Jean Pearl menerusi pembesar suara telefon, sebagai tindakan membalas dendam kerana Pearl melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa dia melanggar peraturan tempoh percubaannya, yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan.

Kata-kata terakhir, Faith, sembilan tahun pada ketika itu ialah: “Jangan ayah, jangan buat.”

Faith dan adiknya Liberty ditemui mati di pangsapuri Battaglia di kawasan Dallas dengan beberapa kecederaan akibat ditembak.

Peguam yang mewakili Battaglia memfailkan rayuan pada saat-saat akhir mendakwa anak guamnya mengalami masalah mental dan delusi yang menyebabkan dia tidak faham kenapa dia dihukum.

Mahkamah menolak rayuan itu. Dia disahkan meninggal dunia menerusi hukuman suntikan pada 9.40 malam waktu tempatan.

Sebelum menjalani hukuman itu, Jabatan Kehakiman Jenayah Texas berkata, kata-kata terakhir Battaglia ialah: “Hi, Mary Jean. Jumpa nanti.”

Dalam temu bual yang dijalankan pada 2014 dengan The Dallas Morning News, Battaglia menafikan melakukan pembunuhan itu dan berkata, “Saya tak rasa macam saya bunuh mereka.” – AFP, 2 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen