3,582 mangsa banjir dipindah ke PPS, kata MB Selangor


Noel Achariam

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negerinya sedang berusaha memastikan keselamatan penduduk yang terjejas akibat banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Disember, 2021.

SERAMAI 3,582 mangsa banjir telah ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 5 petang ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan keselamatan penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Kesemua PPS ini akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, pencuci tangan, pelitup muka serta bilik kecil bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing.

“Memandangkan kita mash bergelut dengan endemik penularan wabak Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan taburan hujan telah mencecah 380mm.

Amirudin berkata, jumlah in adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini, iaitu kira-kira 180mm dan secara kebiasaannya, paras air akan mencapai kira-kira 60mm. 

Tambahnya, air pasang di kawasan-kawasan terlibat mencecah sehingga 4.5 meter.

Shari berkata aset kerajaan negeri serta agensi seperti bomba dan penyelamat, polis dan tentera akan dikerahkan terutama kenderaan banjir bagi tujuan memindahkan mangsa dan mengagihkan keperluan asas.

Beliau turut mengarahkan Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk diletakkan di PPS.

“Kesemua usaha in akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam.

“Kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan Serve bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang aka bermula selepas air pasang mula surut.”

Tambahnya, sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup berikutan paras air yang tinggi menyebabkan ia tidak selamat dibuka bagi mengelak air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran kunci air.

Selain itu, Shari berkata sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bag mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan lebat akan berterusan di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Oleh yang demikian, saya menasihati penduduk di kawasan-kawasan terbabit untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiapsiaga sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.

“Ini adalah untuk melindungi keselamatan anda dan keluarga untuk waktu yang kritikal ini. 

“Elakkan daripada keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Jauhi dari tempat yang dinaiki air kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik ataupun panahan petir.”

Beliau berkata kerajaan negeri akan melakukan segala yang mampu mengikut kapasiti bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan pada detik genting ini.

Shari berkata, maklumat terkini situasi dan kemas kini boleh didapati di laman sosial rasminya di Twitter, Facebook dan Instagram.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, atau nombor yang tertera di bawah. 

i. Mailis Perbandaran Klang - 03-3374 8845
ii. Majlis Bandaraya Shah Alam - 03-5522 2787
iii. Majlis Perbandaran Kuala Langat - 03-31822566
iv. Hospital Tengku Ampuan Rahimah - 03-3323 9478
v. Pejabat Kesihatan Daerah Klang - 03-3323 9554
vi. PDRM Klang Selatan - 03-3372 2222
vii. PDRM Klang Utara - 03-3291 3344
viii. Jabatan Kebajikan Masyarakat - 03-3341 3703
ix. Jabatan Kerja Raya - 03-3371 4040
x. Jabatan Pengairan dan Salian Selangor - 03-3371 2464
xi. Angkatan Pertahanan Awam - 03-3371 0820. – 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen