Plus tutup Plaza Tol Shah Alam, persimpangan akibat banjir kilat


Ragananthini Vethasalam

Pengguna lebuh raya yang terputus hubungan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang ke arah Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan-U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh Plus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Disember, 2021.

PLUS Malaysia Bhd telah menutup Plaza Tol Shah Alam dan persimpangan berikutan banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak 24 jam lepas.

Pengendali lebuh raya itu dalam satu kenyataan berkata ia juga telah mengaktifkan pintu keluar wajib di plaza tol Subang dan Seafield untuk kedua-dua lalu lintas arah selatan dan utara.

Selain itu, laluan masuk di Bukit Raja dan Setia Alam untuk ke Shah Alam juga ditutup.

“Pengguna lebuh raya yang terputus hubungan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang ke arah Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan-U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh Plus,” katanya.

Pengguna lebuh raya juga telah dimaklumkan melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS), kata Plus menambah sebarang maklumat lanjut itu akan diberikan dari masa ke semasa.

Maklumat terkini juga boleh didapati di laman web Plus, www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter Plus Malaysia.

Shah Alam dan Klang antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir berikutan hujan lebat.

Menurut laman web infoBanjir, paras air di 14 sungai di Selangor telah mencecah paras bahaya.

Setakat pukul 6.45 petang, paras air di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan telah mencecah paras berbahaya. – 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen