Presiden Korea Selatan, Jepun bakal bertemu di Pyeongchang


Sempena Olimpik, seramai 26 pegawai tinggi daripada 21 negara asing mengunjungi Korea Selatan, sekaligus menghimpunkan beberapa pemimpin asing di negara itu sejak penganjuran Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear pada 2012. – Gambar EPA, 2 Februari, 2018.

PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan mengadakan sidang kemuncak di Pyeongchang, bandar yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk, lapor agensi berita Yonhap.

Kenyataan Kementerian Luar berkata, Abe akan terbang ke Korea Selatan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Yangyang untuk menghadiri temasya sukan berkenaan.

Moon, akan mengadakan perbincangan dengan 14 wakil kerajaan negeri dan kerajaan sebelum serta semasa berlangsungnya Sukan Olimpik yang bermula 9 hingga 25 Februari dan Paralimpik pada 9 hingga 18 Mac.

Pada masa sama, Moon juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence di Seoul.

Seorang anggota Jawatankuasa Tetap Politburo Parti Komunis China, Han Zheng, dan utusan khas Presiden Xi Jinping, juga akan mengadakan pertemuan dengan Moon di Korea Selatan.

Sempena Olimpik, seramai 26 pegawai tinggi daripada 21 negara asing mengunjungi Korea Selatan, sekaligus menghimpunkan beberapa pemimpin asing di negara itu sejak penganjuran Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear pada 2012.

Antaranya termasuk Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, Presiden Slovenia Borut Pahor dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres.

Presiden China Xi berkemungkinan akan turut sama, namun masih menunggu keputusan muktamad.

“Perkara itu masih belum diputuskan, tetapi mungkin terdapat pengumuman mengenai (keputusan) dalam waktu terdekat,” kata pegawai itu. – Bernama, 2 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen