Joshua Wong dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan


Aktivis pro demokrasi Hong Kong, Joshua Wong dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan dan menjadi penerima kedua paling muda jika terpilih. – Gambar EPA, 2 Februari, 2018.

AKTIVIS pro demokrasi Hong Kong, Joshua Wong dan kempen kebebasan yang diketuainya “Gerakan Payung” dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan oleh ahli Kongres Amerika Syarikat, lapor The Sourh China Morning Post.

Wong, 21, dicalonkan bersama Nathan Law dan Alex Chow, dua lagi pemimpin gerakan protes rakyat menentang campur tangan China di wilayah autonomi itu pada 2014.

Ini adalah pencalonan pertama dari Hong Kong, lapor SCMP.

Pencalonan oleh 12 ahli Kongres AS itu dibuat sebagai “mengiktiraf usaha secara aman untuk membawa perubahan politik’ di wilayah autonomi itu.

Hong Kong, bekas jajahan Britain, diserahkan kembali kepada China pada 1997 untuk penyatuan semula dengan konsep “sebuah negara, dua sistem”.

Sekiranya diangkat sebagai penerima anugerah Nobel Keamanan 2018, Wong akan jadi penerima kedua paling muda, selepas aktivis Pakistan, Malala Yousafzai yang menerima anugerah itu pada 2014 pada usia 17 tahun.

Pada akhir 2014, jalan-jalan utama di Hong Kong dipenuhi oleh ribuan rakyat yang membantah campur tangan Beijing terhadap pilihan raya di wilayah itu.

Protes itu ditandai dengan simbol payung selepas penunjuk perasaan menggunakan payung untuk berlindung daripada tindakan polis menyembur pemedih mata. – 2 Februari 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen