Banduan bakar penjara selepas tular kluster Covid-19


Sebelum kebakaran, rusuhan berlaku di penjara Krabi di Thailand kerana penularan virus Covid-19 dengan lebih 87,000 banduan telah dijangkiti selain 185 kematian direkodkan, menurut Jabatan Penjara. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2021.

BERATUS-RATUS banduan membakar penjara di Krabi, Thailand semasa rusuhan dua hari berhubung pengendalian kluster koronavirus, dengan beberapa banduan cedera ketika pegawai berusaha memulihkan keadaan.

Penjara yang terkenal sesak itu sedang bergelut untuk mengekang penularan virus Covid-19 dengan lebih 87,000 banduan telah dijangkiti selain 185 kematian direkodkan, menurut Jabatan Penjara.

Pihak berkuasa bersedia untuk memeriksa kerosakan pada Sabtu selepas kira-kira 400 banduan di penjara di selatan Thailand mengamuk bermula Khamis malam, menuntut banduan yang menghidap koronavirus dikeluarkan.

Penjara itu mempunyai populasi lebih 2,100 orang dan kira-kira 300 telah diuji positif.

Banduan membakar bilik tidur mereka pada petang Jumaat, berikutan kebakaran lain sehari sebelumnya, dengan 31 orang kemudiannya ditahan.

Mereka telah dibawa ke penjara keselamatan tertinggi, kata timbalan jurucakap polis negara, Kissana Phathanacharoen.

“Tiada kematian, hanya cedera ringan,” tambahnya, selepas media tempatan melaporkan 14 daripada banduan cedera terkena peluru getah.

“Keadaan telah dikawal sejak malam tadi dan pegawai penjara akan memeriksa sebarang kerosakan yang berlaku,” kata seorang pegawai kerajaan Krabi kepada AFP.

Hampir 93 peratus daripada 281,535 banduan di Thailand telah diberi vaksin sepenuhnya, menurut Jabatan Pembetulan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen