SERAMAI 18 orang maut selepas Filipina dibadai Taufan Rai pada Khamis, kata pihak berkuasa semalam.
Taufan Rai adalah taufan yang terkuat membadai negara itu tahun ini, membawa angin berkelajuan maksimum 195 kilometer sejam ketika ia mula membadai Pulau Siargao. Kelajuan angin turun kepada 150 kilometer sejam semalam.
Taufan itu menyebabkan lebih 300,000 penduduk terpaksa berpindah dan pusat peranginan di tepi pantai musnah. Hubungan komunikasi di beberapa kawasan juga terputus.
Lebih 18,000 anggota tentera, polis, pengawal pantai dan bomba dikerah ke lokasi yang paling teruk terjejas untuk mencari dan menyelamat mangsa, kata jurucakap agensi bencana, Mark Timbal.
Seorang wartawan ABS-CBN yang berada di Surigao melaporkan semua bangunan rosak teruk, termasuk pejabat bencana wilayah.
“Suasana seperti baru lepas dilanda bom,” katanya. – AFP, 18 Disember, 2021.
Komen