Polis tumpas sindiket bunga ganja di perumahan mewah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis merampas 4.56 kilogram bunga ganja bernilai RM455,520 yang dipasarkan pada harga RM2,800 satu auns (RM100 satu gram). – Gambar PDRM, 17 Disember, 2021.

POLIS menumpaskan sindiket pengeluar dan pengedaran bunga ganja yang bernilai tinggi di pasaran dengan penangkapan empat lelaki tempatan di sekitar Lembah Kelang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Abd Latif berkata sindikit itu dikesan bergiat sejak tiga bulan lalu di perumahan mewah.

Anggota sindiket terbabit menanam dan memproses sendiri bunga ganja itu dengan teknologi canggih di perumahan terbabit dan menjualnya secara eksklusif kepada pelanggan terpilih, katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Abd Latif berkata polis akan beri perhatian serius banteras aktiviti penanaman ganja. – Gambar PDRM, 17 Disember, 2021.

“Mereka biasanya hanya menjual kepada pelanggan tertentu dan menggunakan residensi mewah dengan sewaan RM 4,500 sebulan sebagai tempat menanam pokok ganja ini.

“Polis memandang berat trend penanaman pokok ganja dan akan memberi perhatian serius dalam membanteras aktiviti seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan itu merampas 4.56 kilogram bunga ganja bernilai RM455,520 yang dipasarkan pada harga RM2,800 satu auns (RM100 satu gram).

“Turut dirampas produk daun kering seberat 720 gram bernilai RM36,000, tujuh biji benih ganja, lapan batang pokok ganja dan dua buah kenderaan mewah,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Abd Latif berkata sindikit itu dikesan bergiat sejak tiga bulan lalu. – Gambar PDRM, 17 Disember, 2021.

Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan berusia 22 hingga 36 tahun ditahan di Brickfields dan Shah Alam pada 14 Disember lalu, katanya.

“Hasil saringan awal mendapati tiga suspek positif dadah jenis ganja dan dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 21 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya. – 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen