Myanmar tolak hasrat lawatan Majlis Keselamatan PBB


Kanak-kanak pelarian Rohingya belajar Al-Quran di kem pelarian di Bangladesh, selepas mereka dan ratusan ribu lati etnik itu melarikan diri dari Rakhine, Myanmar sejak Ogos tahun lalu. – Gambar AFP, 2 Februari, 2018.

MYANMAR menolak permintaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melawat negara itu bulan ini, bagi meninjau keadaan pelarian Rohingya dalam krisis keganasan itu.

Bagaimanapun, Presiden UNSC yang juga Duta Kuwait ke PBB Mansour Al-Otaibi berkata pihak berkuasa Myanmar tidak membantah jika lawatan itu diadakan pada Mac atau April depan.

“Mereka berpendapat masanya belum sesuai untuk kami melawat negara itu,” kata Mansour kepada wartawan di ibu pejabat PBB, di Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan mendesak Myanmar membesarkan ratusan ribu pelarian etnik Rohingya dibenarkan pulang ke Rakhine, selepas mereka melarikan diri daripada kekejaman tentera negara itu.

Mansour berkata Myanmar merancang menganjurkan sesi lawatan ke Rakhine bagi semua diplomat di negara itu, selain menegaskan mengenai ketegangan yang melanda wilayah itu ketika ini.

Sejak Ogos tahun lalu, hampir 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh bagi berlindung di pusat penempatan sementara.

Bulan lalu, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi bagi membolehkan setiausaha agung badan dunia itu, Antonio Guterres melantik wakil khas ke Myanmar, namun setakat ini, pelantikan itu masih belum dibuat. – AFP, 2 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen