NORA, sebuah teater dalam bentuk tarian yang meriah dengan pergerakan serta nyanyian dari selatan Thailand dimasukkan dalam Senarai Perwakilan Unesco untuk kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) dalam satu kenyataan berkata Nora adalah inskripsi kedua Thailand yang disenaraikan selepas drama tari bertopeng ‘Khon’ yang tersenarai pada November 2018.
“Nora dan Khon adalah antara seni persembahan paling penting di Thailand,” kata kenyataan itu.
Jabatan Promosi Kebudayaan di bawah Kementerian Kebudayaan pada 2009 mengisytiharkan Khon sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara negara.
Nora atau Menora ialah amalan berasaskan komuniti dengan kepentingan budaya dan sosial yang mendalam bagi penduduk Selatan Thailand. Persembahannya menggunakan dialek, muzik dan kesusasteraan setempat untuk mengukuhkan kehidupan budaya dan ikatan sosial di kalangan penduduk tempatan.
Persembahan Nora biasanya dimulakan dengan bacaan mentera yang panjang, diikuti dengan persembahan oleh watak utama yang menari dengan pergerakan kaki, tangan dan jari yang pantas dan rumit.
Persembahan biasanya berkisarkan tentang kehidupan Buddha atau wira legenda. Kumpulan persembahan akan memainkan muzik yang sangat berirama dan laju dengan tiupan sejenis serunai tradisional disebut sebagai obo. Tiupan obo beserta paluan gendang, gong, simbal dan pemukul kayu menghasilkan melodi dan irama yang kuat.
Pameran utama Nora - sama ada lelaki atau perempuan - mengenakan pakaian berwarna-warni lengkap dengan mahkota atau hiasan kepala, manik, sayap seperti burung yang diikat di pinggang, selendang berhias kerawang, dan ekor angsa yang memberikan penampilan seperti burung. Penghibur juga memakai kuku logam panjang yang melengkung di hujung jari. – Bernama, 17 Disember, 2021.
Komen