Guan Eng minta potongan 10% daripada projek terowong bawah laut, kata saksi


Saksi perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu didakwa meminta potogan 10% daripada projek terowong dasar laut sebagai rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.  

BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa meminta potogan 10% daripada projek terowong dasar laut sebagai rasuah, kata saksi pendakwaan kepada Mahkamah Sesyen hari ini.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, pengarah syarikat yang dianugerahkan projek itu Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUGC) berkata beliau tidak percaya apabila Lim membuat permintaan itu pada Mac 2011.

“Saya agak terkejut dan tidak menyangka perkara itu keluar daripada mulut Lim Guan Eng yang selama ini saya ingat seorang yang menentang rasuah.

“Daripada apa yang saya faham, 10% itu dimaksudkan sebagai rasuah, bahawa saya perlu memberinya 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat saya apabila ia dianugerahkan projek itu.

“Lim tersenyum apabila saya bersetuju dengan permintaan itu dan beliau berkata pegawainya dan dirinya akan membantu saya dalam menyediakan semua maklumat yang diperlukan untuk projek berkenaan,” katanya.

Zarul merupakan saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan di mana Lim berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk meminta suapan bagi membantu Consortium Zenith Construction mendapat projek terowong itu.

Beliau didakwa meminta 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu daripada pemiliknya Zarul,

Beliau juga didakwa menerima RM3.3 juta untuk dirinya dan menyebabkan dua bidang tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang dikaitkan dengan projek terowong itu.

Zarul juga memberitahu mahkamah Lim terlebih dahulu berjanji kepadanya untuk menganugerahkan projek itu melalui rundingan terus tetapi ini ditukar kepada tender terbuka.

Beliau berkata Lim bagaimanapun berjanji untuk membantunya memenangi tender projek itu.

“Lim mengarahkan pegawainya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada saya dalam perkara ini dan meminta permohonan mengemukakan cadangan (RFP) disegerakan,” katanya.

Terdahulu peguam Lim memohon kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mahu melihat kenyataan Zarul kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan kes itu.

“Saksi itu menyebut dengan jelas dia ditangkap dan direman oleh SPRM berhubung projek terowong itu dan kami mahu membuat permohonan untuk dokumen berkenaan,” kata Gobind sambil menambah terdapat percanggahan dalam kenyataan yang dibuat oleh saksi kepada SPRM dan keterangan saksi yang dibacakannya di mahkamah hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun menolaknya dengan berkata pihak pembelaan boleh membuat permohonan itu selepas Zarul selesai membaca keterangannya.

Hakim Azura Alwi bersetuju dan berkata beliau akan mendengar tawaran pihak pembelaan supaya pihak pendakwaan memberikan mereka dokumen sebelum pemeriksaan balas bermula.

Perbicaraan diteruskan pada 23 Mac. – 17 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen