Guna seluar dalam sebagai pelitup muka, lelaki diarah keluar pesawat


SEORANG penumpang terpaksa turun dari penerbangan di Florida kerana menegaskan bahawa memakai seluar dalam merah sebagai pelitup muka mematuhi peraturan Covid, lapor media tempatan pada Khamis.

Adam Jenne, 38, diminta meninggalkan pesawat itu sebelum ia berlepas dari lapangan terbang Fort Lauderdale.

Beliau memberitahu saluran berita tempatan NBC2 bahawa beliau mahu menunjukkan ianya “tidak masuk akal” memaksa penumpang memakai pelitup di dalam pesawat namun membenarkan ia dibuka untuk makan dan minum.

Video kejadian yang dirakam oleh penumpang lain, memaparkan anak kapal memaklumkan Jenne bahawa beliau tidak akan dapat terus berada dalam pesawat jika terus meletakkan seluar dalam di mukanya.

Selepas beberapa perbincangan, Adam akhirnya akur dan meninggalkan tempat duduknya.

Adam berkata beliau telah memakai seluar dalam di muka semasa penerbangan sebelumnya, dan memberitahu kru penerbangan bahawa “ia adalah pelitup muka, dan sedang melakukan tugasnya.”

Syarikat penerbangan United Airlines dalam satu kenyataan berkata, “pelanggan itu jelas tidak mematuhi mandat pelitup muka persekutuan dan kami menghargai bahawa pasukan kami menangani isu itu di lapangan sebelum berlepas, mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan semasa penerbangan.” – AFP, 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen