TENTERA Laut Amerika Syarikat (AS) telah menyelamatkan lima kelasi Iran yang cedera dalam letupan di atas kapal sebelum merampas kargo dadah haramnya, kata satu kenyataan pada Khamis.
“Anggota Tentera Laut AS menyelamatkan lima pelaut pada 15 Disember selepas kebakaran yang menyebabkan letupan di atas kapal mereka, yang menyeludup dadah terlarang semasa transit di Teluk Oman,” kata Komando Pusat Angkatan Laut AS, atau NAVCENT.
“Pelayar dari Sirocco berjaya menyelamatkan lima pelaut yang cedera dalam letupan itu. Seorang pelaut masih hilang.”
Dua daripada lima kelasi itu, yang mengaku sebagai warga Iran, segera diangkut ke Oman dengan helikopter untuk rawatan perubatan, dan selebihnya kemudiannya dibawa ke Oman untuk dihantar pulang.
“Para pelaut diperhatikan mencurah cecair ke atas kargo dan dek hadapan sebelum kapal itu terbakar dan meletup,” kata jurucakap Tentera Laut AS Tim Hawkins.
Kenyataan itu juga berkata Sirocco merampas lebih dua tan dadah bernilai AS$14.7 juta.
Kargo itu termasuk lebih 1,745 kilogram hashish, 500 kilogram methamphetamine dan 30 kilogram heroin.
Sirocco ialah sebahagian daripada Pasukan Petugas Gabungan 150, atau CTF 150 yang berpangkalan di Bahrain, yang bekerja di bawah perkongsian tentera laut Combined Maritime Forces (CMF).
Awal bulan ini CTF 150 berkata ia telah merampas lebih 67 tan dadah bernilai lebih AS$189 juta dalam operasi di perairan sekitar Teluk pada 2021. – AFP, 16 Disember, 2021.
Komen