China, Rusia komited intensifkan kerjasama bilateral


Hubungan China-Rusia tetap dinamik meskipun selepas mendepani pelbagai ujian serta pergolakan akibat pengaruh perubahan pada dunia sejak 100 tahun lalu dan penularan pandemik Covid-19. – Gambar AFP, 16 Disember, 2021.

CHINA dan Rusia komited mengintensifkan kerjasama untuk memelihara kepentingan teras kedua-dua negara dan menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

Demikian kata Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan secara maya di Beijing, pada Rabu.

Xi berkata hubungan China-Rusia tetap dinamik meskipun selepas mendepani pelbagai ujian serta pergolakan akibat pengaruh perubahan pada dunia sejak 100 tahun lalu dan penularan pandemik Covid-19.

“Saya dan Presiden Putin masih mengekalkan komunikasi dan penyelarasan terhadap isu-isu utama selain turut menggariskan hala tuju perkembangan dua hala secara bersama,” kata Xi.

Difahamkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan Perjanjian Kerjasama Jiran Baik dan Persahabatan China-Rusia dengan suntikan elemen seperti konotasi bercirikan era terkini.

Xi berkata kerjasama pragmatik segenap aspek antara China dan Rusia turut mendatangkan peluang yang kondusif, sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi.

Untuk rekod, perdagangan dua hala pada tiga suku pertama tahun ini menokok AS$100 bilion (RM423 bilion) buat pertama kalinya dan dijangka akan mencipta rekod baharu bagi sepanjang tahun ini.

Kedua-dua negara ini juga secara aktif mempamerkan tanggungjawab dalam menyatupadukan masyarakat antarabangsa untuk mengharungi pandemik serta memperjelas maksud sebenar bagi takrifan demokrasi dan hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Putin menyifatkan hubungan Rusia-China sebagai teladan hubungan antarabangsa pada abad ke-21.

“Ia mencerminkan tahap kepercayaan strategik yang tinggi dan menjadi contoh dalam pewujudan situasi sama menang berdasarkan prinsip tidak mencampuri urusan dalaman dan menghormati kepentingan antara satu sama lain,” jelas Putin. 

Putin berkata Rusia bersedia untuk terus mempergiat kerjasama dengan China dalam mekanisme pelbagai hala yang melibatkan Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Selain itu, Rusia juga menyokong China sebagai presiden BRICS tahun depan, dan tegas menentang sebarang campur tangan hal ehwal dalaman dengan berniat mengekang pembangunan kedua-dua negara.

Tambah beliau, pihaknya akan terus menjaga keselamatan dan kestabilan strategik antarabangsa, selain komited untuk memperkukuh komunikasi dengan China dalam isu penjagaan hak demokrasi sebenar pelbagai negara.

Dalam perkembangan lain, Presiden Putin turut dijadual melawat Beijing bagi menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk awal tahun depan.

Kedua-dua pemimpin tersebut dijangka akan memanfaatkan peluang itu untuk membuka lembaran baharu hubungan dua hala pada era pasca pandemik. – Bernama, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen