Perintah kawalan Covid-19 dikuatkuasakan semula di Korea Selatan


Lebih 80% penduduk Korea Selatan lengkap divaksin tetapi pihak berkuasa belum mengeluarkan data jumlah jangkitan baharu termasuk jumlah dijangkiti selepas menerima vaksin. – Gambar AFP, 16 Disember, 2021.

KOREA Selatan menguatkuasakan semula perintah sekatan Covid-19 terhadap perniagaan dan mengehadkan saiz perhimpunan berikutan peningkatan kes jangkitan.

Langkah itu juga memaksa kerajaan menangguhkan rancangan untuk mengamalkan cara hidup bersama Covid-19.

Mengikut peraturan baharu yang bermula Sabtu ini bagi tempoh dua minggu, restoran, kafe dan premis hiburan waktu malam perlu ditutup pada 9 malam.

Saiz perhimpunan kecil dihadkan kepada empat orang dan mereka yang layak menerima suntikan penggalak diarahkan mendapatkannya secepat mungkin.

Namun, tempat awam lain seperti pawagam dan dewan konsert dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam.

“Kita akan dapat mengatasi saat genting ini jika kita cepat mengawal penularan melalui langkah penjarakan sosial yang ketat,” kata Perdana Menteri Kim Boo-kyum ketika mengumumkan sekatan baharu itu, hari ini.

Jangkitan harian baharu dikesan meningkat lebih tiga kali ganda dengan 7,850 kes dilaporkan semalam dan pihak berkuasa memberi amaran ia mungkin meningkat 20,000 kes bulan depan.

Bulan lalu, kerajaan melonggarkan sekatan seperti memansuhkan had masa perniagaan dibuka untuk membantu meningkatkan semula ekonomi terjejas akibat Covid-19.

Lebih 80% penduduk Korea Selatan menerima vaksin lengkap tetapi pihak berkuasa belum mengeluarkan data jumlah jangkitan baharu termasuk jumlah dijangkiti selepas menerima vaksin. – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen