Bicara kes 1MDB Najib lewat kerana isu SOP, saksi tidak dapat beri keterangan


Hailey Chung Wee Kye

Status pada aplikasi MySejahtera bekas perdana menteri Najib Razak yang masih berwarna kuning menyebabkan beliau dilarang memasuki mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berdepan kelewatan hari ini kerana status MySejahtera beliau menghalangnya daripada memasuki bilik mahkamah dan saksi diisytiharkan tidak layak untuk memberi keterangan.

Ahli Parlimen Pekan itu ditemui di perkarangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur sebelum masuk bilik mahkamah pada 10.30 pagi, satu setengah jam selepas perbicaraan dijadual dimulakan.

Susulan status MySejahtera Najib masih berwarna kuning, beliau dilarang masuk ke bilik mahkamah, mengikut SOP Covid-19. Bagaimanapun, beliau akhirnya dibenarkan membuat hadir.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian memaklumkan kepada mahkamah yang bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir, saksi pendakwaan ke-12, mempunyai hal kecemasan keluarga dan tidak bersedia bagi sesi soal balas oleh pihak pembelaan.

Pihak pembelaan kemudian memanggil saksi pendakwaan ke-13, bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail, untuk soal balas oleh Hariharan Tara Singh selama kira-kira sejam, tetapi kemudian Ismee berkata beliau tidak sihat dan mengambil ubat penahan sakit.

Hakim Collin Lawrence Sequerah pada mulanya membenarkan Ismee berehat selama 15 minit dan kemudian mencadangkan menyambung perbicaraan pada sebelah petang.

Tetapi Ismee berkata beliau berasa “tidak selesa” kerana masalah ligamen.

“Apabila saya dipanggil hari ini, saya agak berat hati untuk datang, tetapi saya melakukannya kerana rasa tanggungjawab. Tetapi saya rasa tidak boleh meneruskannya,” kata Ismee.

Hakim Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan.

Hariharan hari ini menyoal Ismee mengenai kerjayanya untuk menentukan sama ada saksi itu biasa dengan tanggungjawab sebagai pengarah dan tugas fidusiarinya.

Peguam itu juga memberitahu Ismee beliau berada di bawah tekanan ketika memberikan keterangan terhadap Najib kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan 1MDB pada 2018.

“Ia bukan tekanan daripada sesiapa. Ia sukar untuk dijelaskan. Terdapat ketidakpastian dan kebimbangan kerana pada masa itu saya tertanya-tanya apa yang berlaku,” balas Ismee.

Saksi itu menambah beliau bimbang dengan keselamatan keluarga dan dirinya sendiri. – 16 Disember, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen