JUMLAH mangsa maut nahas insiden lori gas meletup di Haiti, dijangka bertambah dan pada masa sama berpuluh-puluh mangsa melecur sedang dirawat.
Insiden letupan berlaku di Cap-Haitien pada Selasa lalu, bandar kedua terbesar di Haiti setakat ini mengorbankan 75 mangsa.
Pengarah Perlindungan Awam Jerry Chandler berkata seramai 59 masih dirawat kerana melecur, kebanyakannya cedera parah.
“Kami menggandakan usaha mengukuhkan infrastruktur kesihatan tempatan kami,” katanya.
Chandler berkata hospital lapangan juga dijangka beroperasi dalam tempoh tujuh hingga 10 hari dengan dibantu pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Angka kematian meningkat sejak semalam kerana mereka yang cedera dalam insiden letupan lori gas meninggal dunia akibat melecur teruk.
Tangki itu meletup ketika mangsa berebut mengambil bahan api yang tumpah di tengah jalan dalam nahas awal pagi Selasa lalu.
Beberapa pesakit dipindahkan ke luar Cap-Haitien, termasuk ke hospital dikendalikan Doctors Without Borders atau MSF, yang menjadi satu-satunya kemudahan kesihatan yang mampu merawat luka terbakar di negara itu. – AFP, 16 Disember, 2021.
Komen