2 kanak-kanak di Australia maut tragedi 'istana belon'


Dua kanak-kanak sekolah rendah di Australia maut apabila istana belon diterbangkan angin. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

DUA kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera parah apabila “istana belon” (bouncy castle) diterbangkan ke udara pada pesta akhir penggal sekolah di Australia pada Khamis.

Polis berkata, murid-murid di sebuah sekolah rendah di utara Tasmania sedang meraikan minggu terakhir kelas sebelum cuti Krismas apabila mereka tercampak dari ketinggian kira-kira 10 meter.

“Dengan tragisnya, saya mengesahkan terdapat dua kanak-kanak yang meninggal dunia,” kata Komander Polis Tasmania Debbie Williams.

Beberapa helikopter penyelamat dan ambulans dihantar ke tempat kejadian.

Media tempatan menunjukkan imej pegawai polis menangis, ketika kain terpal biru menutup kawasan kejadian yang disifatkan Williams sebagai situasi menyedihkan.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata insiden itu sangat menyayat hati.

“Kanak-kanak kecil pada hari yang menyeronokkan, bersama-sama dengan keluarga mereka dan ia bertukar kepada tragedi yang begitu ngeri. Pada masa tahun ini, ia amat menyayat hati anda,” katanya.

“Saya hanya ingin berkata, kepada ibu bapa dan keluarga dan rakan-rakan, semua yang berada di sana, kepada anak-anak kecil lain di sana dan menyaksikan peristiwa ini, saya hanya mampu berdoa agar anda mempunyai keluarga hebat di sekeliling anda dan kawan-kawan dan anda boleh mengharungi tragedi ngeri ini.”

Pihak sekolah menjemput ibu bapa untuk menjadi sukarelawan bagi acara itu, yang menampilkan zon permainan air, gelongsor, kawasan seni dan kraf serta bouncy castle.

“Tujuan hari itu adalah untuk meraikan tahun yang sukses dan menikmati beberapa aktiviti menyeronokkan dengan rakan sekelas,” sekolah itu, Hillcrest Primary di laman Facebooknya.

Hantaran itu diikuti dengan kemas kini: “Terdapat kemalangan di kawasan sekolah kami. Kami menutup sekolah sepanjang hari.”

“Kami meminta ibu bapa menjemput anak-anak kerana perkara kecemasan.” – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen