Had umur minimum kahwin kekal 16 tahun, kata menteri


Chan Kok Leong

Sekretariat Undang-undang Syariah Jakim memutuskan pada 22 September tiada keperluan menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

KERAJAAN tidak akan menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Senator Idris Ahmad.

“Selepas mempertimbangkan pandangan dari pelbagai negeri, Sekretariat Undang-undang Syariah Jakim memutuskan pada 22 September tiada keperluan menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam,” kata Idris kepada Dewan Rakyat semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Katanya, Mahkamah Syariah sudah menetapkan pelbagai syarat untuk perkahwinan bawah umur di Malaysia. 

Ia juga mengeluarkan SOP perkahwinan bawah umur yang berkuat kuasa 28 September 2018.

Idris menjawab soalan P Kasthuriraani (Batu Kawan-PH) yang bertanya sama ada kerajaan akan menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah untuk menghapuskan amalan perkahwinan di kalangan kanak-kanak.

Idris berkata mufti Wilayah Persekutuan pada 7 Ogos 2018 sudah berkata perkara seperti perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan selepas mereka memenuhi syarat ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.

“Kerajaan boleh menetapkan dasar untuk perkahwinan bawah umur kerana ia terletak di bawah prinsip Islam tetapi ini tidak bermaksud mengharamkan undang-undang yang diizinkan Allah,” kata Idris.

 Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun sudah meneliti cadangan menaikkan had umur perkahwinan minimum wanita Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kebanyakan negeri memutuskan untuk mengekalkan umur perkahwinan minimum semasa pada 16 tahun,” kata Idris.

Berdasarkan statistik Mahkamah Syariah, Idris berkata terdapat 2,885 perkahwinan bawah umur antara 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018.

“Jumlah kelulusan untuk tiga tahun selepas SOP dikeluarkan (1 September 2018 hingga 31 Oktober 2021) ialah 2,098.

“Ini adalah pengurangan sebanyak 787 kes,” kata Idris.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), terdapat 1,856 perkahwinan kanak-kanak di Malaysia pada 2018. 

Negeri yang mempunyai jumlah perkahwinan bawah umur bukan Islam tertinggi pada 2018 ialah Pahang (102) manakala Sabah mencatatkan jumlah perkahwinan bawah umur beragama Islam tertinggi sebanyak 334 orang.

Daripada jumlah 1,856 perkahwinan kanak-kanak, 73.9% (1,372) adalah perempuan Islam, diikuti perempuan bukan Islam (15.7%). – 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen