KIRA-KIRA 950 pelombong emas terperangkap di bawah tanah di Afrika Selatan semalam selepas bekalan elektrik terputus, kata pemilik lombong berkenaan, tetapi pekerja tidak dilaporkan berada dalam keadaan bahaya.
Syarikat perlombongan Sibanye-Stillwater berkata bekalan elektrik terputus akibat ribut petir yang menyebabkan lif gagal berfungsi untuk membawa pekerja syif malam naik ke atas di lombong emas Beatrix, di pekan kecil Theunissen berhampiran bandar Welkom.
“Kami ada 955 pekerja masih berada di bawah tanah, mereka berada dalam kawasan tertutup dan selamat, dengan ada pengudaraan yang baik, dan kami menghantar bekalan makanan dan air kepada mereka,” kata jurucakap Sibanye-Stillwater, James Wellsted.
“Jadi semua orang dalam keadaan baik pada masa ini. Kami sedang cuba memulihkan bekalan elektrik untuk membawa mereka naik ke atas.”
Katanya, kedalaman di mana pelombong terperangkap tidak dapat dipastikan tetapi lombong itu mempunyai 23 tingkat, kira-kira 1,000 meter ke bawah tanah.
Satu kabel berjaya dipulihkan pada waktu pagi dan 272 dapat diselamatkan, tetapi masih ada 955 terperangkap pada awal petang.
Mereka berada di bawah tanah bagi tempoh lebih 24 jam dan ahli keluarga dengan penuh gementar sabar menanti di tepi jalan di kawasan itu. Sebuah generator di lombong itu sudah mula berfungsi.
Lombong Beatrix terletak di wilayah negara bebas, 290km barat daya Johannesburg. – AFP, 2 Februari, 2018.
Komen