POLIS Jerman merampas sejumlah besar senjata dalam beberapa siri serbuan semalam, susulan ugutan bunuh dibuat terhadap ahli politik kanan berhubung sokongannya terhadap pengambilan vaksin dalam melawan pandemik.
Canselor Olaf Scholz berjanji bertindak terhadap minoriti pelampau, selepas satu kumpulan anti vaksin didakwa menyasarkan ketua menteri Saxony, Michael Kretschmer.
Siasatan tertumpu kepada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 dan 64 tahun yang disyaki bersiap sedia melakukan jenayah keganasan yang mengancam negeri itu, kata polis.
Kes itu dibuat selepas wartawan dari stesen televisyen ZDF mendedahkan perbualan rahsia di aplikasi telegram dan melaporkan ugutan bunuh itu minggu lalu.
Mesej audio di dalam kumpulan itu menggesa ahlinya membantah sekatan terhadap koronavirus dan “gunakan senjata jika perlu”.
Mereka memetik ahli politik sebagai musuh – khususnya Kretschmer yang lantang menyokong supaya rakyat mengambil vaksin.
Polis dan pasukan keselamatan di Saxony menyerbu enam alamat di bandar Dresden dan Heidenau, di mana mereka menemui beberapa panah dan busur serta senjata. – AFP, 16 Disember, 2021.
Komen