Bank Dunia terima AS$93 bilion dana bantuan negara miskin


Presiden Bank Dunia David Malpass berkata suntikan dana AS$93 bilion diterima bagi membantu negara miskin, khusus bagi meningkatkan bantuan pemulihan akibat pandemik. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

BANK Dunia menerima suntikan dana AS$93 bilion bagi membantu negara miskin, khusus bagi meningkatkan bantuan pemulihan akibat pandemik dan pelaksanaan program lain.

Institusi itu berkata ia peruntukan terbesar diberikan untuk Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa (IDA) yang menyediakan geran kepada 74 negara khususnya di Afrika.

Pakej terbabit merangkumi AS$23.5 bilion, sumbangan diterima daripada 48 negara berpendapatan tinggi dan sederhana, termasuk peningkatan kewangan di pasaran saham dan sumber daripada Bank Dunia.

“Hari ini, komitmen dan sikap pemurah sekutu kami sangat membanggakan bagi membantu negara miskin untuk pulih kembali akibat krisis Covid-19,” kata Presiden Bank Dunia David Malpass.

Dana IDA disediakan setiap tiga tahun, tetapi akibat pandemik Covid-19, suntikan dana diberikan setiap tahun sehingga Jun 2025.

Bank Dunia berkata dana itu akan digunakan untuk membantu negara memerlukan sebagai persediaan menghadapi krisis baharu, termasuk pandemik, kewangan dan bencana.

Institusi itu berkata 70% daripada dana berkenaan disalurkan ke negara Afrika. – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen