Krisis Ukraine, EU desak rundingan dengan Russia


Canselor Jerman Olaf Scholz (kanan), Presiden Perancis Emmanuel Macron (tengah) dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky hadir mesyuarat pada sidang kemuncak EU dengan Rakan Kongsi Eropah Timur. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

PEMIMPIN Eropah menawar diri untuk menjadi orang tengah bagi menangani krisis Ukraine-Russia selepas Kremlin berkata mereka lebih selesa berunding dengan Washington berhubung isu itu.

Ketetapan itu dipersetujui pada sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) dengan Rakan Kongsi Eropah Timur iaitu Ukraine, Moldova, Georgia, Armenia dan Azerbaijan sementara Russia mengeluarkan beberapa siri tuntutan keselamatan kepada Washington pada hari sama.

Washington memberi amaran terhadap tindakan tentera Russia di sekitar Ukraine dan pemimpin EU memberi amaran akan melaksanakan “sekatan strategik sewajarnya” jika Moscow melancarkan serangan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa Jerman menyekat penghantaran senjata yang mendedahkan negara itu kepada risiko bahaya serangan Russia.

Beliau mahu sekatan dikenakan serta-merta ke atas Russia sebelum negara itu bertindak lebih jauh.

“Sesetengah pemimpin mencadangkan format untuk bertindak balas terhadap kemungkinan serangan selepas peningkatan perluasan (serangan),” kata Zelensky, selepas bertemu Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz.

“Hakikatnya, tiada siapa yang berminat dengan dasar sekatan. Negara kami mahukan dengan dasar sekatan yang kuat sebelum sebarang kemungkinan serangan tercetus” katanya.

Negara EU sentiasa menyokong Ukraine namun bimbang tindakan keras seperti sekatan laluan paip Nord Stream 2 dari Russia ke Jerman dikhuatiri menjadi provokasi berbanding menghalang Russia meneruskan ancaman ke atas Kiev.

Sementara itu, Presiden Russia Vladimir Putin tidak mahu menunggu keputusan rundingan di Brussels mengenai pendirian Eropah dalam isu itu, sebaliknya mengemukakan tuntutannya kepada Amerika Syarikat. – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen