Eropah giat beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak


Croatia, Jerman, Greece, Hungary dan Sepanyol antara negara EU yang memulakan langkah imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

EROPAH mula menggiatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun, ketika agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran imunisasi saja tidak mampu menghentikan jangkitan varian Omicron.

Croatia, Jerman, Greece, Hungary dan Sepanyol antara negara EU yang memulakan langkah imunisasi kepada kanak-kanak sementara negara lain masih mempertimbangkan pendekatan itu.

Langkah terbaru negara Eropah itu susulan peningkatan kes jangkitan varian Omicron yang sangat cepat bermutasi.

Ketua EU Ursula von der Leyen berkata varian itu boleh menjadi dominan di Eropah menjelang pertengahan Januari.

Bagaimanapun, agensi kesihatan EU, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran pemberian vaksin tidak memadai untuk menangani jangkitan varian baharu itu.

ECDC berkata pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan elak kawasan sesak lebih penting bagi mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan, kerana kesan vaksinasi mengambil masa lama.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata beliau berharap negaranya, dengan kadar vaksinasi tertinggi di Eropah, akan menjadi contoh untuk dunia melalui kempen imunisasi kanak-kanak lima hingga 11 tahun.

Katanya, Sepanyol mempunyai kira-kira 3.3 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur itu dan permintaan daripada ibu bapa bagi mendapatkan vaksin untuk anak mereka semakin meningkat. – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen