BEKAS ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Nik Ezanee Mohd Faizal memulakan tugas sebagai juruiring rasmi kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bermula hari ini.
Sumber yang mengesahkan maklumat berkenaan berkata tiada kenyataan media atau makluman rasmi dikeluarkan kepada umum sehingga sekarang berhubung pertukaran itu.
“Ya, sah. Beliau sudah memulakan tugas di sana (Pejabat Perdana Menteri) hari ini. Tiada lagi di IPK Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber, arahan pertukaran itu diterima Nik Ezanee semalam.
Nik Ezanee, 43, pernah memegang beberapa jawatan penting sebelum ini termasuk ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras. – 15 Disember, 2021.
Komen