PERDANA Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen pada Rabu berkata beliau akan melantik Menteri Luarnya Prak Sokhonn sebagai Duta Khas baharu Pengerusi ASEAN ke Myanmar, lapor Xinhua.
Kemboja akan menjadi pengerusi Asean untuk 2022.
Sokhonn bakal menggantikan Duta Khas Asean ketika ini, Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof.
“Saya mengesahkan bahawa saya akan melantik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Prak Sokhonn sebagai Duta Khas Pengerusi Asean,” kata Hun Sen semasa berucap di majlis perasmian sebuah hotel mewah di Phnom Penh.
Duta khas itu ditugaskan untuk memastikan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar yang disepakati pemimpin Asean pada April lalu, untuk memudahkan pengantaraan proses dialog, dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.
Sementara itu, Hun Sen berkata beliau akan melawat Myanmar pada 7 dan 8 Januari. Menurutnya selaku Pengerusi Asean 2022, Kemboja akan melakukan yang terbaik untuk mempromosikan badan serantau itu sebagai sebuah keluarga yang bersatu.
Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 15 Disember, 2021.
Komen