Tuntut pemimpin bertanggungjawab, bukannya rosakkan undi


SAYA dapat memahami kenapa gesaan supaya pulaukan pilihan raya umum (PRU) akan datang atau rosakkan undi kini semakin kuat kedengaran. Ada kekecewaan yang besar terhadap pemimpin utama dalam politik negara.

Tetapi biar betapa mendalam sekali pun rasa kecewa itu, memulaukan pilihan raya atau merosakkan undi adalah satu tindak balas yang negatif.

Ia tidak menangani punca sebenar kehampaan itu. Ia juga tidak akan membawa perubahan politik yang diharapkan oleh kebanyakan mereka yang mempelopori kempen ini. Walaupun proses demokrasi membenarkan bantahan yang semacam itu, ia tidak mengukuhkan amalan demokrasi itu sendiri.

Ada satu lagi cara yang boleh dilakukan oleh mereka yang mahu merosakkan undi. Mereka boleh menyalurkan kekecewaan dan kehampaan terhadap PRU14 dengan mula mempersoalkan pemimpin utama politik dengan ikhlas dan jujur.

Memang benar kerja mempersoalkan kekuasaan – mereka yang berada di tampuk kuasa dan mereka yang baru mendaki tangga kuasa – sudah lama berjalan. Namun ia tidak pernah sampai ke satu peringkat sehingga boleh jadi penentu kepada perubahan yang mendasar.

Ada banyak sebab kenapa itu belum berlaku. Satu daripadanya ialah sikap rakyat Malaysia sendiri kepada seluruh proses mempersoalkan kekuasaan. Sehingga ini tidak ramai yang memahami bahawa mempersoalkan kekuasaan secara berterusan denyut nadi demokrasi itu sendiri.

Sekiranya rakyat Malaysia sedar hakikat ini sudah tentu mereka akan menolak segala usaha jahat cuba menyembunyikan dan mengaburi skandal 1MDB. Usaha menutup penyelewengan dana awam dan swasta yang paling mengaibkan inilah yang menimbulkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Kurangnya integriti kepimpinan juga tercermin dalam episod lain seperti muslihat Felda. Itu sebabnya ada defisit kepercayaan yang sangat besar dalam kalangan rakyat terhadap Perdana Menteri Najib Razak.

Kepada mereka yang membantah, ini bukan hanya soal mempertikaikan Najib. Mereka juga tidak gembira dengan penamaan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu mendapat mandat rakyat pada PRU14 nanti.

Apa yang meresahkan mereka bukan hanya rekod beliau yang pelbagai semasa jadi perdana menteri selama 22 tahun. Tindakan beliau yang patah balik dalam tempoh setahun yang lalu atas tujuan untuk menyingkirkan Najib malah lebih menimbulkan rasa hampa terhadapnya.

Beliau kini berbaik dengan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang pernah dianggapnya sebagai seorang yang perkauman. Beliau juga kini memperakui Anwar Ibrahim yang pernah dicapnya sebagai “tidak layak daripada segi moral” untuk memimpin negara. Kedua-dua tindakan patah baliknya ini menunjukkan Dr Mahathir seorang tokoh politik ala Machiavelli, yang menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuan.

Pemilihan Anwar sebagai bakal perdana menteri, yang akan mengambil alih kedudukan tinggi itu selepas mendapat pengampunan diraja apabila dibebaskan dari penjara nanti, juga tidak begitu disenangi oleh sesetengah mereka yang mempelopori kempen undi rosak ini.

Mereka tahu ada bukti yang tidak dapat dipertikaikan daripada dua perbicaraan kes liwat – seperti keterangan bekas ketua polis negara Hanif Omar di mahkamah – yang tidak boleh diketepikan begitu saja.

Selain dakwaan liwat yang mencemarkan itu dan kesannya bagi seseorang yang menerajui sebuah negara majoriti Muslim, integriti Anwar juga dipersoalkan kerana didakwa terlibat dengan politik wang ketika pemilihan parti Umno pada 1993 dan pilihan raya negeri Sabah pada 1994.

Selebihnya kerana tindakan beliau memanipulasi sentimen kaum semasa jadi menteri pendidikan dan dakwaan mengaitkan beliau dengan “negara rahsia” atau “deep state” di belakang empayar Amerika Syarikat tercermin pada kedudukannya pada suatu masa sebagai pengerusi Foundation for the Future.

Ada satu lagi pihak dalam pertarungan pilihan raya ini yang menambah kekecewaan pengundi iaitu PAS. Parti Islam itu kini dengan terang-terangan menonjolkan imej eksklusifnya atas nama Islam. Dengan menyebut bahawa Muslim sepatutnya hanya mengundi calon Muslim dalam sebuah masyarakat yang pelbagai agama, PAS muncul sebagai sebuah kuasa yang memecah belah dan mundur. Parti semacam ini tidak ada tempat dalam politik abad ke-21.

Dengan mempersoalkan kepimpinan BN, PH dan PAS, penganjur kempen boikot PRU14 dan undi rosak akan memaksa mereka mempertahankan kedudukan masing-masing. Sekiranya jawapan mereka tidak memuaskan, masih ada pendekatan lain.

Mereka boleh memajukan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat 1MDB dan operasinya demi mencari kebenaran, dan kebenaran semata-mata, untuk rakyat Malaysia dan dunia amnya.

Sekiranya pemimpin PH seperti Dr Mahathir dan Anwar tidak dapat memberikan penjelasan memuaskan atas salah laku mereka, gabungan PH harus dipujuk untuk meminta mereka berundur dan memajukan muka baru yang seeloknya lebih muda dan kurang beban untuk memimpin pakatan yang baru bertatih itu.

Begitu juga, sesiapa juga yang mahukan perubahan tulen termasuk penganjur kempen boikot PRU dan undi rosak harus menggesa pimpinan dan ahli PAS untuk mengetepikan pemikiran sempit kepimpinannya dan memupuk pemahaman Islam yang merangkumi nilai-nilai sejagat.

Kalau sekiranya mempersoalkan pemimpin serta ideologi dan tindakan mereka – dan bukannya memulaukan pilihan raya dan merosakkan undi – jadi budaya politik yang diterima, ada harapan Malaysia akan tumbuh matang jadi sebuah masyarakat yang adil dan harmoni jauh melampaui PRU14. – 2 Februari, 2018.

* Dr Chandra Muzaffar ialah ahli sains politik yang menulis tentang politik Malaysia sejak 1971.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen