Mahkamah Kenya gantung perintah vaksinasi wajib


Penggantungan arahan untuk menunjukkan bukti vaksinasi itu dibuat Mahkamah Kenya sementara menunggu perbicaraan kes yang difailkan oleh seorang ahli perniagaan yang menyebut arahan itu "zalim" dan melanggar perlembagaan. – Gambar EPA, 15 Disember, 2021.

MAHKAMAH Kenya pada Selasa menangguhkan arahan kerajaan untuk menghalang rakyat yang tidak divaksin sepenuhnya terhadap Covid-19 daripada menggunakan perkhidmatan dan memasuki tempat awam seperti taman negara, bar dan restoran.

Bulan lepas negara Afrika Timur itu mengumumkan rakyat perlu menunjukkan sijil vaksinasi mulai 21 Disember untuk mengakses perkhidmatan kerajaan, termasuk hospital, sekolah, pejabat cukai dan imigresen.

Bagaimanapun hakim Mahkamah Tinggi Antony Mrima pada Selasa menggantung arahan itu sementara menunggu perbicaraan kes yang difailkan oleh seorang ahli perniagaan yang menggelar arahan itu “zalim” dan melanggar Perlembagaan.

Beberapa kumpulan termasuk Human Rights Watch (HRW) telah mengkritik arahan itu sebagai diskriminasi, menggesa kerajaan batalkan rancangan itu, yang juga memerlukan pelawat dari Eropah untuk menunjukkan bukti vaksinasi penuh.

“Walaupun kerajaan ada kewajipan untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman kesihatan awam yang serius, langkah itu perlulah munasabah dan berkadar,” kata HRW pada Selasa.

Badan pemantau itu menambah stok tidak mencukupi untuk memberi vaksin kepada semua orang dewasa sebelum tarikh akhir.

Kenya telah memberi vaksin sepenuhnya kepada 3.2 juta orang, atau 12 peratus daripada populasi dewasa, menurut angka rasmi, jauh di bawah sasaran kerajaan sebanyak 27 juta menjelang akhir 2022.

Tetapi menteri kesihatan Mutahi Kagwe mempertahankan perintah itu pada Ahad, berkata ia adalah kewajipan kerajaan untuk melindungi hak orang yang divaksinasi daripada terdedah kepada jangkitan.

“Ini lebih kritikal dengan kemunculan varian Omicron. Pakar telah beri amaran ia lebih menular daripada virus sebelumnya,” kata Kagwe.

Kenya telah merekodkan sejumlah 256,484 kes Covid-19, dengan 5,349 telah maut. – AFP, 15 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen