DUA pegawai polis maut pada Selasa selepas bahan letupan meletup di lapangan terbang di sempadan Colombia dengan Venezuela, turut membunuh penyerang, kata pegawai keselamatan.
Penyerang itu maut apabila bahan letupan yang dibawanya meletup ketika dia melompat pagar di sekitar landasan di lapangan terbang antarabangsa Cucuta.
Pegawai polis David Reyes, 38, dan William Bareno, 42 terbunuh apabila “pakar bahan letupan meninjau kawasan itu dan mengenal pasti beg pakaian,” yang turut meletup, kata Kolonel Giovanni Madarriaga, ketua polis Cucuta.
Menteri Pertahanan Colombia Diego Molano berkata insiden itu kelihatan seperti serangan oleh ELN, kumpulan pemberontak yang menolak perjanjian damai pada 2016 dengan organisasi gerila FARC yang jauh lebih besar.
Polis berkata adalah tidak jelas sama ada bahan letupan yang dibawa oleh penyerang tidak dikenali itu meledak sebelum waktunya atau jika serangan itu adalah pengeboman bunuh mati, satu amalan luar biasa dalam konflik yang berlarutan di Colombia.
Polis dan pasukan keselamatan segera mengepung lapangan terbang, sekali gus menggantung semua penerbangan selama tujuh jam.
Beberapa rumah berhampiran turut rosak akibat letupan itu.
Sekurang-kurangnya lima serangan, termasuk pada Selasa, telah menggegarkan wilayah yang bersempadan dengan Venezuela sejak pertengahan tahun ini.
Pada Jun, penyerang menembak helikopter yang membawa Presiden Ivan Duque, mengenai pesawat itu ketika ia menghampiri Cucuta, sebuah bandar dengan kira-kira 800,000 penduduk. Tiada siapa yang cedera dalam serangan itu.
Kumpulan bersenjata di rantau tersebut, kebanyakannya bekas pemberontak, berebut keuntungan daripada pengedaran dadah, mengambil kesempatan daripada sempadan antara Colombia dan Venezuela. – AFP, 15 Disember, 2021.
Komen