AMERIKA Syarikat (AS), negara paling teruk terjejas akibat pandemik koronavirus, melepasi angka 800,000 kes kematian Covid-19 semalam, menurut data Universiti Johns Hopkins.
Angka itu lebih besar berbanding populasi di beberapa negeri, termasuk North Dakota dan Alaska.
Wakil rakyat Demokrat, Nancy Pelosi dan Chuck Schumer serta pemimpin Republikan Kevin McCarthy serta anggota Kongres yang lain bertafakur ketika sidang dewan di bangunan Capitol petang semalam.
“Hari ini, kita akan mengenang kematian 800,000 insan yang disayangi – bapa atau datuk, ibu atau nenek, kawan, atau wajah yang kita biasa lihat di kawasan kejiranan kita,” kata Schumer dalam satu kenyataan.
“Kita semua ada seseorang yang kita kenal dan terkorban akibat wabak ini.”
Kira-kira 450,000 kematian dilaporkan pada 2021, walaupun vaksin terbukti berkesan yang kali pertama diambil pada Disember 2020.
Sejumlah besar kematian direkodkan itu kebanyakannya individu yang tidak divaksin.
Menurut data rasmi, risiko maut akibat Covid-19 adalah 14 kali lebih tinggi dalam kalangan individu tidak mengambil vaksin, berbanding mereka yang sudah disuntik vaksin pada September.
Jumlah vaksinasi meningkat ketika gelombang keempat Covid-19, akibat varian Delta, dan lebih 60% daripada 332 juta populasi negara itu kini menerima dos lengkap vaksin – namun AS masih ketinggalan berbanidng negara kaya yang lain.
AS kini dalam tempoh gelombang kelima Covid-19, dengan pusat wabak di negeri bahagian utara yang lebih sejuk, di mana orang ramai lebih kerap berkumpul di tempat tertutup.
Omicron, varian terkini yang mula menular ke seluruh dunia, kali pertama dikesan di Afrika Selatan pada hujung November, kini berada di AS dengan 3% kes daripada varian itu, dan dijangkakan ia akan berjangkit dengan pantas, seperti yang berlaku di negara lain. – AFP, 15 Disember, 2021.
Komen