Omicron menular pantas, kata WHO


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata 77 negara berdepan ketegangan akibat Omicron dan mungkin ia sudah merebak di kebanyakan negara tanpa dikesan. – Gambar EPA, 15 Disember, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian baharu Omicron menular pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menggesa semua negara bertindak segera termasuk mendapatkan ubat yang didakwa Pfizer berkesan terhadap varian itu.

Sekolah rendah di Belanda akan ditutup lebih awal ketika Eropah bergelut dengan gelombang baru jangkitan dan peningkatan kemasukan ke hospital, manakala Perdana Menteri Britain Boris Johnson berdepan ujian di Parlimen yang berusaha mengenakan sekatan baharu di negara itu.

Omicron, varian yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan dilaporkan kepada WHO pada 24 November lalu menunjukkan mutasi besar, memberi amaran baharu ancaman Covid-19 kepada dunia.

Data awal menunjukkan varian ini tahan terhadap vaksin dan lebih mudah berjangkit berbanding Delta, yang pertama kali ditemui di India dan menyumbang kepada sebahagian besar kes Covid-19 di dunia.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata 77 negara berdepan ketegangan akibat Omicron dan mungkin ia sudah merebak di kebanyakan negara tanpa dikesan “pada kadar yang tidak pernah kita lihat dengan mana-mana varian sebelumnya”.

Isnin lalu dilaporkan kes pertama kematian akibat varian Omicron di dunia berlaku di Britain, namun sehingga kini masih belum ada bukti Omicron menyebabkan kesan penyakit lebih teruk.

Semalam, WHO optimistik berkata Afrika mencatatkan peningkatan kes yang besar sepanjang minggu lalu, namun jumlah kematian yang lebih rendah berbanding gelombang sebelumnya. – AFP, 15 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen