MAHKAMAH di Belarus semalam menjatuhkan hukuman penjara hampir dua dekad kepada ketua pembangkang Sergei Tikhanovsky atas kesalahan mencetuskan gerakan protes terhadap pemimpin negara Alexander Lukashenko tahun lalu.
Tikhanovsky, 43, seorang blogger YouTube, pada musim bunga lalu beliau melancarkan kempen menentang Lukashenko, yang memerintah negara bekas Soviet itu secara dictator sejak 1994.
Walaupun pihak berkuasa berjaya menghentikan kempen Tikhanovsky – dengan menahannya dan mendakwa beliau melanggar ketenteraman awam menjelang pilihan raya pada Ogos 2020, dan beliau ditahan sejak itu – gerakan protes yang dicetuskannya meluas kepada puluhan ribu peserta.
Semalam, selepas perbicaraan tertutup berbulan-bulan lamanya, mahkamah mendapati Tikhanovsky bersalah atas tuduhan menganjurkan rusuhan, mencetuskan kebencian sosial dan pertuduhan lain, dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadapnya, lapor akhbar tempatan Sovetskaya Belarus.
Isterinya, Svetlana Tikhanovskaya yang menggantikan tempatnya sebagai ketua pembangkang, berkata beliau tidak akan “menangis” atas hukuman itu, sebaliknya fokus atas usaha mendesak Kesatuan Eropah (EU) memberi tekanan kepada Lukashenko.
Katanya, Tikhanovsky dikenakan hukuman maksimum, ia membuktikan suaminya – seorang yang berani dan baik – menjadi musuh peribadi kepada Lukashenko.
Negara barat mengutuk hukuman itu.
Jurucakap EU berkata keputusan mahkamah itu adalah penindasan secara bersistem dalam keganasan yang masih berterusan di Belarus. – AFP, 15 Disember, 2021.
Komen